Penuaian air di Malaysia

Penuaian air di Malaysia

Oleh: NURUL A'DILA ABD. RAZAK dan ABDUL RASHID ABDUL AZIZ

MAC lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan supaya diadakan undang-undang mewajibkan pemasangan sistem penuaian air hujan bagi kegunaan domestik sebagai salah satu langkah untuk mengatasi krisis bekalan air negara pada masa hadapan. Cadangan tersebut ialah pemasangan sistem tuaian air hujan bagi beberapa jenis bangunan tertentu termasuk bangunan kediaman.

Hakikatnya krisis air bukan sahaja berlaku di negara kita, malah seluruh dunia menghadapi masalah yang sama. Amaran yang dikeluarkan oleh ahli kaji cuaca seluruh dunia bahawa dalam masa sepuluh tahun akan datang, peningkatan suhu bumi akan berlaku.

Hal ini sudah pasti akan meninggalkan kesan ke atas bekalan air seluruh dunia terutamanya di kawasan beriklim panas dan sederhana, dan sudah pastinya Malaysia juga tidak akan terkecuali.

Sebenarnya, terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk menuai air hujan. Seperti di negara-negara luar, pelbagai sistem dipraktikkan sama ada sistem tuaian ringkas mahupun sistem tuaian kompleks. Kaedah paling ringkas tetapi popular ialah penggunaan tong kecil yang ditempatkan di laman rumah atau taman-taman mini.

Kaedah ini diamalkan di beberapa negara seperti di Jerman, Jepun, dan juga Thailand dan ia merupakan kaedah yang paling murah dari segi kos serta menjimatkan ruang. Kaedah tuaian ini hanya memerlukan bahan-bahan seperti tong kecil untuk penyimpanan air hujan, paip air hujan untuk menyalurkan air dari bumbung ke dalam tong, kepala paip untuk tujuan pengagihan air dari tong kepada pengguna, dan juga pelapik tong air.

Bagaimanapun, air hujan yang dituai melalui kaedah tersebut hanya digunakan untuk menyiram pokok di taman-taman kecil sahaja.

Di Sri Lanka pula, penggunaan tangki ferosimen adalah lebih popular. Kaedah ini digunakan secara meluas oleh penduduk di kawasan pedalaman khasnya. Terdapat dua jenis tangki ferosimen, iaitu tangki bawah tanah dan juga tangki aras tanah. Kebiasaannya, setiap jenis tangki tersebut berkapasiti 5,000 liter air. Seperti sistem sebelumnya juga, air hujan yang ditadah dari bumbung rumah akan mengalir ke paip air hujan, seterusnya dialirkan ke tangki ferosimen yang berjarak kira-kira satu atau dua meter dari rumah.

Air yang disimpan dalam tangki akan diagihkan kepada pengguna melalui kepala paip dan juga paip berpam ( bagi tangki separa dalam tanah) yang dipasang pada bahagian tertentu tangki.

Satu kelemahan sistem ini ialah kualiti air yang rendah kerana ia tidak mempunyai sistem penapisan atau penurasan air yang sistematik, sebaliknya hanya bergantung kepada kekerapan pemilik rumah mencuci paip saluran air hujan berkenaan untuk menjamin kebersihan air yang dituai.

Bagi menjamin kualiti air pula, seterusnya dijadikan sumber minuman yang selamat, air hujan yang disimpan dalam tangki akan dimasak terlebih dahulu, atau dirawat dengan menambah serbuk klorin.

Di negara-negara maju seperti Australia, Amerika Syarikat, Jerman, dan United Kingdom pula, sistem yang lebih kompleks dan lebih canggih dipraktikkan.

Contohnya, penggunaan tangki konkrit bawah tanah, tangki politen, dan tangki keluli. Dalam sistem kompleks, air hujan akan melalui beberapa proses penapisan dan rawatan untuk menghasilkan air yang bukan sahaja untuk kegunaan luar seperti menyiram pokok, membasuh kereta, dan mengepam tandas malahan air tersebut boleh diminum dan digunakan untuk memasak makanan.

Salah satu contoh sistem kompleks ialah sistem di Oregon, Ameriksa Syarikat yang menggunakan elemen-elemen termasuk tangki penyimpanan air hujan (plastik) berkapasiti 1,500 gelen, pam air untuk meningkatkan dan menurunkan tekanan air mengikut keperluan pengguna, paip PVC untuk menyambung dan menyalurkan air dalam sistem.

Walaupun sistem ini membabitkan kos yang tinggi, namun kualiti air yang dituai adalah jauh lebih baik dan selamat untuk diminum. Tambahan pula, sistem tuaian ini dapat memberikan faedah jangka panjang kepada pemiliknya.

Polisi dan sistem-sistem di atas telah banyak memberi manfaat kepada negara terlibat. Di samping dapat menangani krisis air, penuaian air hujan juga sebenarnya dapat mewujudkan perumahan mapan melalui kaedah penjimatan tenaga iaitu sumber air.

Sedar atau tidak, di Malaysia, amalan penuaian air hujan sebenarnya telah lama diamalkan oleh masyarakat kita dahulu. Contohnya, amalan mengumpul air hujan dari bumbung rumah di dalam tempayan atau bekas tembikar semasa hujan. Air yang dikumpul tersebut akan digunakan sebagai air mencuci kaki dan menyiram tanaman.

Selain air hujan, penggunaan air bumi iaitu air telaga juga telah lama diamalkan oleh masyarakat kita, khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Sebagai contoh, penggunaan air telaga di Pantai Timur seperti Kelantan bukanlah suatu amalan yang baru, malahan sehingga kini, penggunaan air telaga masih lagi diamalkan di kampung-kampung di negeri ini. Lebih menarik lagi, air telaga bukan sahaja untuk kegunaan luar, tetapi juga menjadi sumber air minuman yang selamat.

Tetapi sayangnya, amalan penyimpanan air hujan dan penggunaan air telaga seakan-akan telah dilupakan oleh masyarakat kita hari ini setelah wujudnya sistem paip bekalan air kerajaan.

Kita seakan-akan leka dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan sahaja dan hanya bergantung kepada pihak kerajaan semata-mata tanpa memikirkan inisiatif sendiri untuk menangani krisis air.

Adakah kita mahu tragedi buruk seperti tahun 1997/1998 berlaku kali kedua? Tepuk dada, tanya selera.

- PENULIS ialah pensyarah Pusat Pengajian Perumahan Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia.

Comments